Suami Isteri : Bercintalah Berkali-kali.....
Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.
Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.
Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan "gencatan suara" melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan