Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari
Mat Jahaya
SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) memutuskan untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Umno Johor dalam masa dua atau tiga hari lagi berkenaan isu hudud.
Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, surat rasmi itu menyatakan sebulat suara menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengenai perlaksanaan hukum hudud di Johor.
Menurutnya, dalam surat tersebut, Ilmu menyuarakan pendapat dan cadangan berhubung proses perlaksanaan hukum hudud di negeri itu.
“Sekiranya segala usul, pendapat dan cadangan diterima, kami dengan sukarela melibatkan diri tampil membantu melicinkan proses perlaksanaan hukum hudud di Johor,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang tindakan mengenai isu yang hangat diperkatakan ini.
“Kuasa hanya berada di pihak mereka,  kami sebagai pihak yang menyokong hanya mengeluarkan pandangan sahaja dan tidak ada hak atas sebarang keputusan.
“Selain itu, kami juga akan membuat hebahan mengenai surat rasmi yang dikeluarkan ini di facebook, twitter dan sebagainya sebagai tontonan masyarakat umum,” katanya.
Beliau sebelum ini, mengingatkan agar Umno Johor tidak terlalu gopoh untuk melaksanakan hukum hudud kerana dikhuatiri ia akan berhenti separuh jalan.